PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu buli siber terutama pengguna media sosial atau ‘netizen’ yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau sehingga mengancam keselamatan individu lain.
Tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mana-mana yang didapati membuat hantaran serta spekulasi berkaitan sesuatu isu sehingga berlakunya fitnah, ugutan atau buli siber adalah satu kesalahan jenayah meskipun dalam talian.
Menurut beliau, individu tersebut boleh diambil mengikut undang-undang dikuat kuasa antaranya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
“Mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah apabila banyak spekulasi yang timbul di media sosial dengan menghina, mengutuk mencaci mangsa mahupun suspek.
“Ini secara tidak langsung boleh mengganggu emosi dan memberi tekanan kepada waris keluarga, inilah buli siber. Isu ini adalah serius.
“Saya memberi amaran kepada masyarakat terutama pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan membuat sebarang spekulasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Razarudin, pihaknya memandang serius terhadap penggunaan media sosial secara melampau hingga menimbulkan fitnah terhadap pihak lain.
Justeru katanya, mana individu-individu yang merasakan dibuli di media sosial diminta melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kita tidak mahu berlakunya kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian seperti mana yang menimpa pada pempengaruh Tiktok Esha,” ujarnya.
Menurut Razarudin, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi dalam meneliti serta mengkaji langkah-langkah dan tindakan yang lebih tegas dalam memerangi unsur buli siber.
Katanya, PDRM dan Kementerian Komunikasi sudah membentuk satu jawatankuasa yang diberi tanggungjawab meneliti aspek perundangan yang bakal dicadangkan pada masa akan datang.
Beliau juga menyeru orang ramai memberi ruang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dalam sesuatu kes.
“Jangan menyebarkan sesuatu perkara yang tidak pasti kesahihannya sehingga boleh menimbul fitnah di mana polis boleh bertindak menyiasat jika menerima laporan polis dan dituduh di mahkamah,” katanya. – UTUSAN










