Kutipan SST 51.6%lebih rendah

[PARLIMEN] Kutipan SST 51.6% lebih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kutipan cukai berasaskan penggunaan ber­kurang selepas cukai jualan dan per­khidmatan (SST) dilaksana semula menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, selepas GST diperkenal pada April 2015, kutipan GST adalah sebanyak RM37.7 bilion bagi 2015; RM55.7 bilion (2016); RM60.5 bilion (2017); dan RM30.9 bilion (2018), iaitu sehingga Mei 2018 sahaja.

Selepas SST dilaksanakan semula, kutipan adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi 2018, iaitu dari September hingga Disember 2018; RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bi­lion (2020); RM25.5 bilion (2021); RM31.3 bilion (2022); dan RM35.4 bilion (2023).

“Secara keseluruhan, kutipan GST bagi tempoh April 2015 hingga GST dimansuhkan pada Mei 2018 berjumlah RM184.8 bilion manakala jumlah kutipan SST pula sebanyak RM150.4 bilion bagi tempoh September 2018 hingga akhir 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Kata kementerian, jika dibanding jumlah kutipan hasil antara tempoh pelaksanaan GST dan SST, purata kutipan SST secara tahunan adalah 51.6 peratus lebih rendah daripada purata kutipan tahunan GST, susulan skop kenaan SST adalah lebih kecil berbanding GST.

“Faktor utama jumlah kutipan SST menjadi lebih rendah adalah skop kenaan SST adalah lebih kecil iaitu meliputi 41 peratus daripada keseluruhan barang dan perkhidmatan dijual dalam pasaran berbanding 76 peratus barang dan perkhidmatan dijual di bawah skop kenaan GST,” katanya.

Sementara itu, katanya, pelaksanaan SST tidak boleh dianggap sebagai penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan kerana terdapat faktor lain seperti permintaan dan penawaran, harga komoditi global, harga barangan import serta kadar tukaran mata wang asing yang turut mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan oleh perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN