Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus untuk pelajar IPTA, ILKA - Utusan Malaysia

Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus untuk pelajar IPTA, ILKA

FAHMI Fadzil beramah mesra dengan peserta mahasiswa selepas Persidangan Antarabangsa Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan perkhidmatan internet khas untuk pelajar menerusi tawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus untuk golongan lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pakej berkenaan boleh dilanggan mulai 16 Ogos ini menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES). 

Jelasnya, pakej tersebut ditawar pada harga yang lebih rendah iaitu tidak melebihi RM30 dengan minimum permulaan data sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tawaran pakej ini merupakan hasil perluasan pakej Internet mudah alih (prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun 2023.

“Dan maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, usaha kementerian dengan kerjasama strategik syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar.

Tambahnya, kementerian juga komited dalam memastikan penyediaan perkhidmatan komunikasi asas kepada golongan pelajar lepasan menengah khususnya akses yang diperlukan untuk tujuan pembelajaran.

“Kementerian Komunikasi memastikan kos ketersambungan (connectivity) internet yang lebih rendah dan tempoh sah laku (validity) prepaid yang lebih panjang kepada golongan pelajar yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai berkenaan akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sementara senarai lengkap IPTA dan ILKA yang terpilih akan dimaklumkan menerusi laman web Kementerian Komunikasi di www.komunikasi.gov.my.

“Kita akan mulakan inisiatif ini di IPTA dan ILKA terlebih dahulu dan lihat prestasinya bagaimana, kemudian kita akan berbincang (lebih lanjut) dengan syarikat telco untuk menyebar luaskan pakej itu.

“Pihak kerajaan tidak membiayai (apa-apa) ini adalah kerjasama dari syarikat telco, cara konsep Rahmah adalah kerajaan tidak berbelanja tapi bila syarikat telco yang mempunyai kemampuan besar boleh membantu menampung (perbelanjaan), itu lah konsepnya.

“Konsep Rahmah itu masih dipraktikkan dan dalam pakej ini, kerajaan tidak membuat apa-apa bayaran tetapi telco dengan cukup baik hati telah bersetuju untuk mengurangkan caj, kita nak para mahasiswa memanfaatkan sepenuhnya pakej prabayar yang telah diumumkan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini