PAC dedah HRD Corp labur RM3.77b hasil levi majikan

PAC dedah HRD Corp labur RM3.77b hasil levi majikan

Mas Ermieyati Samsudin bersama pasukan PAC mengadakan sidang media di Pusat Media di Parlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam mendedahkan, Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) melabur sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Dapatan itu diperoleh menerusi pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati jumlah kutipan levi yang dicatatkan oleh HRD Corp meningkat dengan begitu ketara iaitu RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.

Katanya, peningkatan yang ketara itu adalah akibat dari perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) pada 1 Mac 2021 di mana kenaan levi telah diwajibkan kepada semua sektor industri.

“Melalui prosiding yang telah diadakan, PAC dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah levi yang tidak digunakan oleh majikan dalam tempoh dua tahun akan dikategorikan sebagai unutilised levy.

Tempoh ini dilihat terlalu singkat yang mana ia tidak dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepenuhnya untuk menggunakan dana latihan tersebut.

“Perlu diingatkan HRD Corp bukanlah sebuah institusi pelaburan, namun PAC mendapati HRD Corp melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti put and call option. Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar,” katanya ketika sidang media laporan PAC di Parlimen, semalam.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, sebagai langkah penambahbaikan, PAC antaranya mengesyorkan HRD Corp harus menumpukan penyaluran dana latihan.

Katanya, ia bagi memastikan pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program-program latihan yang lebih menyeluruh serta tertumpu dan tidak hanya bersifat generik.

“Selain itu, HRD Corp perlu memastikan setiap aktiviti pelaburan dipantau oleh panel pelaburan dan ALP HRD Corp dengan lebih telus dan teratur. Panel pelaburan wajib melaporkan aktiviti pelaburan kepada Lembaga Pengarah apabila diminta seperti yang termaktub dalam Akta PSMB 2001 dan bukan hanya kepada Pengerusi ALP.

“HRD Corp perlu mewujudkan garis panduan bagi perolehan aset termasuk dan tidak terhad kepada Limits of Authority (LOA) dan SOP, supaya terdapat satu proses piawaian prosedur yang konsisten dan memastikan pelaksanaannya dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KESUMA harus melantik perunding bebas untuk melakukan pengauditan forensik keberkesanan program-program latihan yang dijalankan di bawah HRD Corp termasuk dan tidak terhad kepada program-program di bawah geran kerajaan.

Katanya, ia juga harus mengambil kira segala aduan pelaksanaan program dan dilaporkan semula kepada PAC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×