OP Sepadu Bas Pelancongan, Ekspres: Dua pemandu tiada lesen, seorang positif ganja - Utusan Malaysia

OP Sepadu Bas Pelancongan, Ekspres: Dua pemandu tiada lesen, seorang positif ganja

JABATAN Pengangkutan Jalan menjalankan pemeriksaan terhadap bas pelancong dan ekspres di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak hari ini- gambar M firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Dua pemandu bas persiaran dikesan tidak memiliki lesen memandu dan seorang didapati positif ganja dalam operasi bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak di sini hari ini.

Operasi bersepadu bermula pukul 6 pagi itu dijalankan bersama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) membabitkan pemeriksaan 22 buah bas persiaran.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, setakat pukul 9 pagi, pihaknya mengenal pasti dan menahan dua pemandu bas persiaran tanpa lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dalam pemeriksaan terbabit.

“Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya syarikat dan pemandu bertanggungjawab ke atas kenderaan masing-masing.

“Kita mengambil tindakan dengan menyita bas itu sehingga syarikat menggantikan pemandu dengan lesen yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, AADK menjalankan ujian air kencing ke atas kesemua 22 pemandu mendapati seorang daripada mereka positif menggunakan ganja.

“Pemandu yang berusia dalam lingkungan 30-an itu didapati positif menggunakan ganja dan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut

“Kita juga mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kenderaan asing yang tidak mempunyai Permit Peredaran Dalaman (ICP) dan tidak mempunyai pemandu pelancong,” katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan turut mendapati sebuah van Thailand tidak mempunyai permit edaran antarabangsa (ICP)

Jelasnya, turut dikesan kesalahan lain di bawah Motac dengan mengenal pasti tiga bas persiaran tanpa pemandu pelancong.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bas pelancongan dan bas ekspres bahawa jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang didapati melakukan kesalahan itu dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan sehingga akhir bulan ini.

“Kami tidak akan berkompromi dengan kesalahan dilakukan demi keselamatan penumpang.Operasi ini akan diteruskan sehingga hujung bulan ini, jika kita berpuas hati.

“Bagaimanapun, kita boleh melanjutkannya jika Menteri Pengangkutan menganggapnya perlu. Ia tidak akan menjadi operasi bermusim dan dan dikuatkuasakan di seluruh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN