SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menguatkuasakan larangan penggunaan plastik sekali guna dan memberi tempoh masa selama tiga bulan kepada semua pihak bagi menormalisasikan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan telah pun meluluskan Larangan Penggunaan Beg Plastik Sekali Guna dan Polisterina serta Penggunaan Penyedut Minuman atas Permintaan pada 5 Oktober 2022 iaitu hampir dua tahun lalu.
Menurutnya, ketetapan berkenaan telah dilaksanakan sepenuhnya di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negeri ini di mana bagi daerah Seremban larangan tersebut telah dikuatkuasakan pada 1 April 2022.
“Pada masa ini, semua PBT dalam peringkat kempen kepada para peniaga dan pengguna agar tidak lagi menggunakan plastik sekali guna. Saya percaya semua pihak berkepentingan memahami peraturan dan ketetapan ini.
“Bagaimanapun, masih ramai lagi yang belum mematuhi ketetapan ini dan mengambil sikap sambil lewa untuk mematuhinya. Oleh itu pada hari ini peringatan dibuat untuk semua pihak bahawa tiga bulan pertama akan datang iaitu dari 1 Ogos, pemeriksaan berkala akan dijalankan dan semua pihak termasuk pengguna dan peniaga perlu menormalisasikan norma ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tegas Veerapan lagi, selepas tempoh itu, penguatkuasaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna akan terlaksana dan pihak yang mengingkari larangan ini akan dikenakan tindakan undang-undang yang keras termasuk denda atau kompaun dan tindakan yang sesuai termasuk tidak memperbaharui lesen.
Menurut beliau, bagi peniaga, larangan penggunaan beg plastik sekali guna telah dijadikan sebagai salah satu syarat dalam memperbaharui lesen perniagaan serta tindakan akan diambil jika melanggar peraturan ini.
“Kadar bagi denda akan diputuskan dalam masa terdekat setelah perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. Saya juga menyeru agar rakyat turut menyumbang dalam memastikan usaha menjaga kelestarian alam ini dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.-UTUSAN.











