KUANTAN: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas terjatuh dari bot yang dilantik oleh sebuah syarikat bagi memastikan tiada nelayan lain melalui kawasan tersebut semasa proses mencari gali minyak dan gas di perairan Pulau Tioman di sini, kelmarin.
Mangsa, Heng Jooi Hwa, 58, dilihat kali terakhir pukul 7 malam pada hari kejadian.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Mazlan Mat Rejab berkata, mangsa merupakan salah seorang kru bot yang dilantik oleh Ramform Sovereign, vendor kepada Syarikat Petronas Sdn. Bhd. bagi melaksanakan operasi mencari gali minyak dan gas.
Menurutnya, selepas menyedari ketiadaan mangsa, semua kru bot terbabit membuat pencarian, namun gagal dijumpai.
“Susulan laporan kejadian, Cawangan Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 9.15 pagi, semalam.
“Bot KM Rentap diatur gerak sejurus menerima maklumat daripada pengadu yang juga pemilik bot dinaiki mangsa.
“Usaha SAR mangsa diteruskan hari ini turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta sembilan bot nelayan meliputi keluasan kira-kira 177 batu nautika persegi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keadaan cuaca di sektor pencarian dilaporkan kurang baik pada hari ini.
“Bagaimanapun, aset-aset terlibat akan terus melaksanakan pencarian di sektor yang telah diberikan,” ujarnya. – UTUSAN











