KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan penyerang importnya, Chadrack Lukombe Muzungu memilih untuk berpisah lebih awal meskipun saingan Liga Super baharu memasuki perlawanan keenam musim ini.
Presidennya, Rozi Muhamad berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak
mencapai persetujuan secara bersama mengenai perkara tersebut dan penamatan kontrak itu berkuatkuasa hari ini.
“Seperti telah dimaklumkan pihak kelab akan melakukan beberapa perubahan drastik termasuk membawa masuk pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan kedua nanti.
“Keputusan sangat jelas dan muktamad. Kami kena berubah untuk kembali memberi cabaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rozi memberitahu, perubahan yang dilakukan itu mengikut keperluan semasa kelab
sebagai sebuah pasukan bola sepak profesional.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan KDN FC kembali menyengat dalam saingan Liga Super selepas ini.
“Kita (KDN FC) mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas khidmatnya kepada pasukan. Kami
mendoakan semoga beliau terus berjaya sepanjang kariernya selepas ini. Selamat maju jaya bersama kelab lain pada masa hadapan,” ujarnya,
Muzungu menyertai KDN FC dengan kontrak semusim pada April selepas dibebaskan kelab Liga Maghribi, RS Berkane.
Perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancangkan selepas diketepikan selama beberapa minggu ekoran masalah cedera.
Sebaik kembali, dia gagal menembusi skuad utama termasuklah disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan Julai.-UTUSAN










