MH17: Australia tekad mahu Russia bertanggungjawab

MH17: Australia tekad mahu Russia bertanggungjawab

MENTERI Hal Ehwal Luar Australia, Penny Wong (tiga dari kiri) dan Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Reece Kershaw (dua dari kanan) memberi penghormatan dalam majlis ulang tahun ke-10 tragedi MH17 di Canberra semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia mengulangi ikrarnya untuk memastikan Russia bertanggungjawab terhadap tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang terhempas akibat ditembak peluru berpandu di ruang udara timur Ukraine, 10 tahun lalu.

Dalam kejadian 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Russia di timur Ukraine, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Menteri Luar, Penny Wong menegaskan Australia akan terus memberikan komitmen untuk menuntut Russia bertanggungjawab terhadap insiden itu.

“Kami mengulangi komitmen bersama dalam mendapatkan kebenaran dan keadilan terhadap kekejaman yang dilakukan pada 17 Julai 2014.

“Kesedihan ini tidak akan pernah hilang, tetapi waktu dan kasih sayang dapat mengurangkan bebanannya,” kata Wong ketika berucap dalam majlis memperingati tragedi MH17 di Bangunan Parlimen di Canberra, pada Rabu.

Sementara itu, bekas Menteri Luar Negara, Julie Bishop, yang berkhidmat ketika pesawat ditembak, berkata peristiwa tersebut akan kekal terpahat dalam ingatan negara.

“Selama tempoh 10 tahun, keluarga dan sahabat mangsa menanggung beban kehilangan orang yang tersayang.

“Masa berlalu mungkin meredakan kesakitan, tetapi ia sama sekali tidak memadamkan ingatan kita terhadap mangsa yang terkorban,” katanya.

Nama 38 warga Australia yang terkorban dibacakan pada upacara peringatan itu, yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa.

Tragedi itu turut mengorbankan penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom (UK) serta 15 anak kapal Malaysia Airlines.

RUSSIA NAFI TERLIBAT

Tragedi itu adalah sejarah hitam buat seluruh dunia, dengan peranan yang didakwa dimainkan oleh Russia dalam insiden tersebut menjadi tumpuan utama.

Perdana Menteri Australia ketika itu, Tony Abbott dengan tegas menuding jari terhadap peranan Kremlin sehingga hubungan antara Canberra dan Moscow merosot ke tahap terendah.

Bagaimanapun, Russia menafikan sebarang penglibatannya dalam insiden itu dan enggan bekerjasama dengan penyiasatan antarabangsa.

Pada 17 November 2022, Mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua bekas ejen perisikan Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine, Leonid Kharchenko secara in absentia (tanpa hadir di mahkamah) selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17.

Seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov dibebaskan oleh mahkamah meskipun berdepan pertuduhan sama.

Tahun lalu, pendakwa Belanda berkata, terdapat petunjuk kukuh bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin membekalkan sistem peluru berpandu BUK kepada pemisah Ukraine, senjata yang menjatuhkan MH17.

Bagaimanapun, bukti pembabitan Putin dan pegawai Rusia yang lain tidak cukup muktamad untuk membawa kepada sabitan jenayah.

Selain perbicaraan jenayah yang diadakan di Belanda, Amsterdam dan Ukraine menyaman Russia di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah atas dakwaan peranannya dalam menembak jatuh MH17.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×