JOHOR BAHRU: Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang tercemar dengan bakteria E-Coli masih berada di bawah milikan dan penyeliaan syarikat Damansara Asset Sdn. Bhd.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, premis berkenaan walaupun mempunyai nama MBJB, namun masih belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Walau bagaimanapun, pihaknya telah mengarahkan kolam itu ditutup sehingga keadaan dan tahap kebersihan serta keselamatan pengguna terjamin.
“Memang kolam renang itu nama Pusat Akuatik MBJB tetapi ia belum diserahkan kepada kami. Sekarang ini masih diuruskan Damansara Asset yang telah melantik kontraktor bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara premis itu.
“Pusat Akuatik ini dibina untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada 2020, tetapi temasya itu tertangguh akibat pandemik Covid-19, kemudian tidak digunakan beberapa tempoh lamanya mungkin menyebabkan berlaku kerosakan dan kurang penyelenggaraan,” katanya ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Mohd. Noorazam berkata, pihaknya telah mengeluarkan amaran keras kepada syarikat kontraktor dilantik supaya segera membaik pulih fasiliti itu.
“Ini bukan sahaja melibatkan soal kualiti air, malah pelbagai aspek lain kerana soal keselamatan dan kesihatan awam bukan perkara main-main,” tegasnya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah memaklumkan keputusan laporan kimia daripada sampel air yang diambil dari pusat tersebut didapati dicemari bakteria E-Coli.
Ahad lalu, media melaporkan 19 peserta terdiri daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam sebuah kejohanan di pusat akuatik itu dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah kesihatan seperti muntah, demam dan gatal kulit. – UTUSAN











