JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa syukur apabila Albertine Leo Jia Hui, 6, yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu ditemukan dalam keadaan selamat.
Kejayaan polis menyelesaikan kes itu mendapat pujian beliau yang menghargai kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha yang ditunjukkan dalam operasi menyelamat kanak-kanak perempuan itu.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan bagi membolehkan keadilan ditegakkan.
“Syukur alhamdulillah, Albertine Leo yang dilaporkan hilang di Iskandar Puteri, Sabtu lalu telah berjaya ditemui dengan selamat pada pukul 4.45 pagi tadi di satu lokasi di Batang Kali, Selangor
“Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada PDRM atas usaha yang ditunjukkan dalam operasi mencari dan menyelamat Albertine. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama memberi informasi dan bantuan sepanjang operasi ini dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong turut memberi pujian kepada PDRM atas kejayaan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Katanya, masyarakat juga memainkan peranan penting dengan memberi bantuan kepada pihak polis menyelamatkan mangsa dalam masa yang singkat.
“Ini adalah contoh yang terbaik menunjukkan kerjasama antara pihak PDRM dan masyarakat untuk mencegahkan kes jenayah. Kerjasama antara pihak PDRM dan masyarakat telah memberi kesan yang agak besar dan ini adalah semangat yang dipupuk oleh yayasan, kes ini adalah contoh yang terbaik.
Masyarakat juga perlu berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling apabila membawa anak-anak ke tempat yang sesak,” katanya sambil menegaskan bahawa aspek keselamatan dan keamanan amat penting untuk menarik pelancong serta pelaburan masuk ke negeri Johor.
Hari ini, media melaporkan penemuan Jia Hui dalam keadaan selamat di Batang Kali yang disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Kehilangan kanak-kanak itu disedari kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu ketika mengikut bapanya ke pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dan setakat ini lima orang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut. – UTUSAN










