PETALING JAYA: Malaysia jangan terlalu selesa dengan transaksi menggunakan mata wang BRICS selepas menyertai kesatuan itu kerana bimbang Amerika Syarikat (AS) bertindak balas dengan keputusan negara.
Ketika ini, Malaysia menggunakan mata wang dolar AS dalam urusan perdagangan ekoran AS adalah destinasi keempat terpenting untuk negara ini.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan harus bijak mengimbang penggunaan kedua-dua mata wang AS dan BRICS agar tidak ketinggalan dalam ekonomi dunia dan tidak ‘diugut’ oleh AS.
“Malaysia merupakan negara kecil dan masih mengharapkan dolar AS walaupun telah menyertai BRICS. Jika menyokong kesatuan tersebut keterlaluan, AS dikhuatiri bakal menyusahkan kita seperti menaik tarif barang Malaysia yang dieksport, boikot dan adakan prosedur ketat yang tentunya sukar untuk negara ini.
“Disebabkan itu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini meningkat kepada AS$115.4 bilion dolar setakat 15 Februari lalu berbanding AS$114.8 bilion pada 31 Januari lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, sistem mata wang BRICS jauh lebih baik berbanding dolar AS ekoran tidak perlu menukar ringgit kepada dolar untuk berurusan.
“BRICS merupakan pilihan yang sangat baik kepada Malaysia untuk beralih tumpuan daripada dolar AS. Kebanyakan negara membangun jadi anggota kesatuan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan dolar AS.
“Semua urus niaga perdagangan dibuat dalam mata wang tempatan dan jika sertai BRICS, Malaysia boleh eksport dalam ringgit,” katanya.
Menurut beliau, banyak negara yang sudah menyertai kesatuan itu dan ketika ini sedang terjadi transisi perpindahan dolar AS kepada mata wang BRICS.
“Ini memberi isyarat dolar AS akan kehilangan sokongan dunia dan seterusnya akan runtuh memandangkan AS tidak mempunyai aset perbankan,” katanya. – UTUSAN










