KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyemak semula semua perjanjian sedia ada berkaitan penjualan air mentah kepada Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, semakan itu bagi menilai semula harga jualan air ketika kerajaan membuat perjanjian dengan republik itu sebelum ini.
“Jadi, sama ada kita bagi subsidi atau tidak, kita sedang melihat balik semua perjanjian yang ada,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selepas merasmikan persidangan dan pameran khas Air Malaysia 2024 semalam.
Beliau mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia memberikan ‘subsidi’ kepada Singapura dengan menjual air mentah 250 juta gelen sehari pada kadar hanya 3 sen bagi setiap 1,000 gelen sejak 1962.
Sebelum ini didakwa Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen hingga 2011, dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 dan berterusan hingga 100 tahun selepas itu.
Bagaimanapun, republik itu kemudian menolak apabila Malaysia dilaporkan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 hingga 2011.
Sementara itu, Fadillah berkata, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif terbaharu untuk mengintegrasikan teknologi canggih dan memperkukuh infrastruktur dalam usaha membentuk semula ekosistem sektor air negara ini.
Beliau berkata, antaranya penerapan Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam pengurusan air negara.
Menurutnya, asas transformasi ini adalah penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperoleh maklumat yang lebih tepat dan boleh dipercayai.
“Kementerian akan membangunkan pusat data dan maklumat air berpusat sebagai sumber penting dalam mengira jejak air maya kebangsaan dan menubuhkan inventori jejak air di seluruh sektor ekonomi.
“Keputusan berasaskan data, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama awam-swasta akan menjadi kunci dalam mendorong pelan transformasi kita,” katanya.- UTUSAN










