Lokasi kedua pencarian bukti kawasan sunyi - Utusan Malaysia

Lokasi kedua pencarian bukti kawasan sunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Suasana hening Kampung Batu 4 di Trolak dekat sini dipecahkan dengan kehadiran pihak polis dan pemberita berikutan lokasi dalam kampung itu dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang wanita.

Kampung itu yang terletak 2.5 kilometer daripada Plaza Tol Slim River, kebiasaannya sunyi dan didiami sekitar 100 orang penduduk dengan bilangan kira-kira 20 buah rumah.

Jelas seorang penduduk yang ditemui, kawasan kampung itu agak sunyi dan banyak rumah tidak berpenghuni.

“Kawasan ini sunyi sahaja, penduduk pun dah tak ramai. Tidak banyak perkara yang jadi tumpuan. Tapi sejak dua tiga hari ini ramai datang. Polis datang,” katanya ketika ditemui semasa mengutip buah durian.

Sungai di kampung tersebut menjadi tumpuan negara apabila dilaporkan bahawa pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui beg tangan yang dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pada Rabu lalu.

Pasukan forensik meneruskan misi pencarian sehingga hari ini yang dipercayai mahu mendapatkan beberapa isi kandungan beg tangan tersebut.

Sungai itu dianggap sebagai lokasi kedua dalam usaha mencari bukti kematian wanita tersebut selepas kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor yang dilaporkan sebagai tempat penemuan mayat mangsa.

Menurut penduduk itu lagi, kawasan berhampiran sungai tersebut agak sunyi dan jarang dilalui oleh penduduk kampung.

Berdasarkan pemerhatian, laluan daripada kawasan kampung menuju ke sungai tersebut agak sempit dan lengang serta tidak banyak kenderaan menggunakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×