PORT DICKSON: Aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bernilai hampir RM60,000 berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan dalam Op Tiris di sebuah premis tanpa nama dekat Port Dickson di sini semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan pada pukul 11.50 pagi itu, pasukan penguat kuasa KPDN telah berjaya merampas sebanyak 515 tong LPG yang merupakan barang kawalan bersubsidi dianggarkan bernilai RM59,194.
“Serbuan yang melibatkan lapan orang anggota dibuat hasil dari risikan telah berjaya mengesan aktiviti penyelewengan atau proses decanting LPG.
“Semasa serbuan dijalankan, tiada pihak yang bertanggungjawab ditemui di premis tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, turut disita di dalam serbuan tersebut termasuk dua buah lori jenama Bison, 30 unit hos, satu unit alat timbang elektronik jenama CTS, dua unit tong ais dan 10 unit plastik ais yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM109,084.
“Kesemua barangan tersebut telah disita kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta,Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Tambah beliau, KPDN Negeri Sembilan sentiasa komited dan akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan bersubsidi serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN.
“Ini khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.-UTUSAN.











