PETALING JAYA: Prosedur pendaftaran yang didakwa terlalu rumit dan memerlukan modal besar, menjadi antara faktor pusat tahfiz kurang berkemampuan tidak berdaftar di negara ini.
Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran (Permata Al-Quran) Malaysia, Manolito Mohd. Dahlan berkata, dianggarkan 500 hingga 1,000 buah Maahad Tahfiz belum berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Menurutnya, jumlah itu mengikut anggaran secara tidak rasmi, namun mereka berdaftar dengan pelbagai kaedah termasuk pendaftaran di bawah syarikat (ROC); Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) serta di bawah Koperasi atau Yayasan.
“Terdapat beberapa kemungkinan mereka tidak berdaftar antaranya mereka telah membuat permohonan tetapi pelbagai birokrasi pentadbiran terpaksa dilalui menyebabkan mereka kecewa dan berlaku kelewatan proses pendaftaran.
“Selain itu, kurangnya kempen kesedaran serta galakan yang di mainkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), JAIN dan Jakim ke peringkat akar umbi dan untuk mendaftar perlu melalui proses semakan oleh bomba, Kementerian Kesihatan dan Majlis Bandaran.
“Bagi pematuhan tersebut kos terlalu tinggi terpaksa di biayai oleh pihak Maahad. Sedangkan Maahad kurang berkemampuan kerana kewangan lebih utamakan untuk bayaran gaji dan makan minum pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, banyak pusat tahfiz di negara ini masih tidak berdaftar yang boleh menimbulkan pelbagai risiko termasuk keselamatan pelajar.
Beliau berkata, antara sebab pusat pengajian itu tidak berdaftar termasuk tidak dapat mengikuti syarat atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, kegagalan itu menimbulkan pelbagai risiko terutama keselamatan pelajar, sekali gus menggesa semua pengendali pusat tahfiz segera berbuat demikian demi kebajikan pelajar.
Mengulas lanjut, Manolito menyarankan, kerajaan melalui Jakim, MAIN dan JAIN menyediakan peruntukan khas program Pemutihan Maahad Tahfiz.
Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh mewujudkan ‘juru perunding’ sama ada melalui Persatuan Negeri, Permata atau juruperunding swasta yang dibiayai oleh kerajaan untuk berbincang dan melengkapkan dokumentasi pendaftaran.
“Seterusnya, mengadakan program ‘pendaftaran sementara’ sebelum dibimbing untuk mendapat pendaftaran penuh.
“Menjadikan persatuan Al-Quran peringkat negeri sebagai smart partnership untuk menyampaikan maklumat di peringkat akar umbi.
“Malah, boleh menyeragamkan kepelbagaian undang-undang di semua negeri serta laksanakan penguatkuasaan secara berhemah dan holistik,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmood berharap, kerajaan membantu mempermudahkan pusat tahfiz yang masih dalam proses pendaftaran, mendaftar.
“Kalau 20 tahun lepas, mungkin mereka tidak mahu berdaftar kerana kononnya dipantau dan dipaksa mengikut menyokong kerajaan, itu dulu memang begitu.
“Tetapi, sekarang sangkaan begini sudah tidak ada sebab melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerajaan membantu supaya institusi tahfiz tadi berdaftar. Jadi perlu ada ehsan di pihak kerajaan untuk memudahkan pendaftaran,” katanya. – UTUSAN









