SEOUL: Korea Utara mungkin mempertimbangkan ujian nuklear menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan pengaruhnya.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Shin Wonsik mendakwa perkara itu ketika pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un memperkenalkan hulu peledak baharu yang mampu menyerang AS dan sekutunya di Asia.
Beliau berkata, Seoul akan mencapai perjanjian dengan Jepun dan AS untuk menyelaraskan pemantauan peluru berpandu yang dilancarkan dari Korea Utara.
“Korea Utara menyelesaikan persediaan untuk melakukan ujian nuklear apabila keputusan dibuat.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan detik penentu itu berlaku tepat sebelum atau selepas pemilihan Presiden AS untuk meningkatkan pengaruhnya terhadap AS,” katanya dalam satu wawancara di Tokyo, semalam.
Shin melawat Tokyo untuk menandatangani perjanjian dengan AS dan Jepun bagi mengukuhkan kerjasama keselamatan, termasuk latihan ketenteraan bersama.
Beliau berkata, AS, Jepun dan Korea Selatan memulakan perkongsian data masa nyata sejak Disember mengenai pelancaran peluru berpandu dan mengembangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk perkongsian maklumat.
“Ketiga-tiga negara hampir mencapai persetujuan mengenai SOP, dan perjanjian dijangka ditandatangani tidak lama lagi,” katanya.
Pyongyang mempunyai tabiat menyesuaikan provokasinya dengan peristiwa besar politik.
Walaupun Kim Jong Un mengadakan tiga pertemuan secara langsung dengan Donald Trump ketika beliau menjadi Presiden, media negara Korea Utara menolak komen yang dibuat oleh pemimpin itu mengenai hubungan mereka.
Korea Utara juga mengeluarkan kata-kata kasar terhadap pentadbiran Presiden Joe Biden dan tidak mengendahkan seruannya untuk kembali kepada rundingan denuklearisasi yang lama terhenti.
Kali terakhir Korea Utara menguji peranti nuklear pada September 2017 – bom atomnya yang paling kuat setakat ini dengan anggaran daya ledakan antara 120 hingga 250 kiloton.
Menurut Institut Analisis Pertahanan Korea yang berpangkalan di Seoul, Korea Utara dianggarkan mempunyai kira-kira 80 hingga 90 kepala peledak.
Menerusi kertas kerja yang dikeluarkan pada Januari 2023, institut itu berkata, Kim berhasrat memiliki antara 100 hingga 300 kepala peledak dalam jangka panjang.- BLOOMBERG










