PYONGYANG: Korea Utara bakal melancarkan tapak pelancongan utama yang kini dalam proses pembinaan di pantai timur negara itu, menjelang tahun depan.
Dalam lawatan di zon Wonsan-Kalma semalam, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membincangkan langkah untuk membuka zon itu, walaupun negaranya masih menyekat lawatan kebanyakan pelancong asing.
Zon Wonsan-Kalma adalah antara projek pelancongan Kim yang paling banyak diperkatakan.
Sejak bertahun lalu, Korea Utara membina hotel mewah dan kemudahan rekreasi bagi mencipta tarikan utama untuk pelawat antarabangsa.
Namun, projek itu dilaporkan mengalami kelewatan disebabkan kekurangan bahan binaan akibat sekatan ketat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Covid-19.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Kim dan timbalannya kini dalam rangka persiapan untuk pembukaan zon Wonsan-Kalma menjelang Mei tahun depan, seperti diputuskan mesyuarat pemerintah pada Januari.
“Kawasan pantai yang akan dikenali di seluruh dunia sebagai resort pelancongan terbaik (Korea Utara) akan dibina,” kata Kim seperti dilaporkan KCNA.
Kim berkata, pembinaan zon itu kini memasuki peringkat akhir.
Korea Utara secara beransur-ansur melonggarkan sekatan era pandemik dan sekatan kemasukan ke negara itu sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan ekonomi.
Tetapi, pihaknya belum membuka semula sempadan kepada pelancong asing, kecuali sebilangan kecil warga Russia yang melawat negara awal tahun ini, ketika hubungan kedua-dua negara berkembang pesat.
Kedatangan pelancong China dijangka memberikan sumber pendapatan lebih besar kerana mereka mewakili kira-kira 90 peratus pelancong antarabangsa yang melawat Korea Utara sebelum wabak itu.
Pada 2019, 300,000 pelancong asing direkod melawat Korea Utara, sekaligus menjana pendapatan antara AS$90 juta (RM420 juta) dan AS$150 juta (RM701 juta), kata pakar.- AP










