SEOUL: Korea Selatan memulakan pengeluaran jet pejuang tempatan KF-21 sekaligus menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha negara itu membina pesawat pejuang canggih.
Majlis perasmian model pertama KF-21 diadakan di Korea Aerospace Industries Ltd (KAI) di Sacheon, 296 kilometer di selatan Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA).
Korea Selatan melancarkan program pembangunan KF-21 pada 2015, bertujuan memperoleh jet pejuang supersonik canggih bagi menggantikan armada jet buatan AS yang sudah usang termasuk F-5.
Bulan lalu, KAI menandatangani perjanjian bernilai 1.96 trilion won (AS$1.41 bilion) dengan DAPA untuk membina 20 unit KF-21 menjelang 2027.
Seoul berhasrat membina lebih banyak unit dan mengoperasikan sejumlah 120 KF-21 menjelang 2032.
DAPA memaklumkan model pengeluaran pertama dijadual dihantar kepada Tentera Udara pada akhir 2026.
Sejak projek pembangunan bermula, DAPA menjalankan pelbagai ujian penerbangan dan persenjataan terhadap enam prototaip KF-21.










