NEW DELHI: Angka kematian akibat tanah runtuh di daerah Wayanad di negeri Kerala, India meningkat kepada 151 orang setakat ini.
Pasukan penyelamat giat meneruskan usaha mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dalam operasi awal hari ini.
Hujan lebat di destinasi pelancongan paling menarik di India meruntuhkan lereng bukit dan mencetuskan arus lumpur, dianggap bencana terburuk di negeri itu sejak banjir maut pada 2018.
Kebanyakan daripada 350 keluarga yang tinggal di kawasan itu, yang dikelilingi ladang teh dan buah pelaga, tidak menyedari tanah runtuh berlaku awal pagi semalam.
Jurucakap Ketua Menteri Negeri, P.M Manoj mengesahkan sekurang-kurangnya 151 orang maut dan 187 lagi masih hilang.
Visual televisyen menunjukkan banyak rumah musnah dan pokok tumbang, ketika penyelamat berusaha meredah aliran air yang berlumpur.
Menteri Hasil Negeri, K. Rajan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memasang jambatan Bailey mudah alih dan siap pasang ke kawasan terjejas, selepas jambatan utama ke bandar terdekat, Chooralmala musnah.
Jabatan cuaca menjangkakan kawasan tersebut akan menerima hujan sepanjang hari, selepas seharian hujan lebat menghalang operasi menyelamat.- REUTERS










