PETALING JAYA: Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam Premium pada tahun hadapan dilihat sebagai langkah baik, namun perlu dikaji dengan lebih teliti.
Pengerusi Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Hasnah Toran berkata, KPM perlu mencari punca mengapa ramai pelajar menganggap matrikulasi sebagai aliran pendidikan yang lebih baik berbanding ke tingkatan enam.
“Usaha untuk ‘premiumkan’ tingkatan enam itu memang bagus, tetapi KPM perlu juga cari punca kenapa ramai pelajar merasakan tingkatan enam itu susah.
“Ada yang kata tingkatan enam sukar untuk skor berbanding matrikulasi, dan ada yang kata silibus bagi matrikulasi lebih mudah dan straightforward (jelas dan mudah). Dakwaan ini perlu diambil kira dan diperbaiki untuk tingkatan enam premium nanti’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
KPM sebelum ini mengumumkan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam Premium pada tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program khusus dalam tingkatan enam premium akan dilaksanakan bagi melihat tingkatan enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan pelajar untuk menyambung pengajian.
Dalam pada itu, menerusi statistik yang dikeluarkan KPM, trend pelajar melapor diri ke tingkatan enam sejak dua tahun kebelakangan adalah antara 50,000 hingga 51,000 orang.
Menurut data tersebut, jumlah pelajar melapor diri pada 2024 berkurang sebanyak 564 orang berbanding 2023.
Kata Hasnah, kementerian juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif dan strategi bagi memperkasa dan menaik taraf pendidikan tingkatan enam bagi menarik lebih ramai pelajar ke aliran itu.
Jelas beliau, ini akan melibatkan pelbagai aspek merangkumi informasi dan infrastruktur, pengurusan pusat tingkatan enam, kebajikan guru dan murid serta kurikulum. – UTUSAN










