SEREMBAN: Kolej Tingkatan Enam Forest Height di Seremban telah dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.
Pemasyhuran kolej itu telah disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang berangkat mencemar duli ke majlis itu di sini hari ini.
Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan putera baginda Tunku Zain Al-Abidin.
Pengetua Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, Datin Seri Nurul Hidayah Seah Abdullah berkata, pemasyhuran nama Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz itu sebagai tanda menjunjung kasih pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan kepada baginda.
“Penjenamaan semula Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban ini kepada Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz adalah bersesuaian dengan kedudukannya sebagai satu-satunya kolej tingkatan enam khususnya di Negeri Sembilan.
“Data menunjukkan bahawa kolej ini menduduki tempat ketiga menerima pelajar paling ramai dalam kalangan kolej tingkatan Enam di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini hari ini.
Nurul Hidayah berkata, pada tahun 2023 bilangan pelajar yang mendapat PNGK 4.00 telah meningkat kepada 13 orang pelajar yang menjadikan kolej itu antara yang berada di kedudukan teratas dari segi pencapaian Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Negeri Sembilan.
Pada 15 Disember 2018, kolej itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang 3 telah bertukar nama kepada SMK Forest Heights.
SMK Forest Heights Seremban terus melakar sejarah apabila diumumkan sebagai Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban pada tahun 2022 sebelum dijenamakan semula kepada Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.-UTUSAN.










