Kiswah baharu Kaabah dipasang sempena 1 Muharram 1446H

Kiswah baharu Kaabah dipasang sempena 1 Muharram 1446H

PASUKAN khas dari Pentadbiran Am Kompleks Raja Abdulaziz sedang menukar kiswah, yang diperbuat daripada sutera hitam dan benang emas disulam dengan ayat al-Quran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Proses penukaran kain kiswah Kaabah di Masjidil Haram selamat dilakukan pada awal Ahad, sempena kedatangan Tahun Baharu Islam 1446H, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Ini adalah tahun ketiga Arab Saudi melaksanakan penggantian kiswah Kaabah sebelum awal Muharram, selepas mengumumkan perubahan tradisi tahunan itu pada 2022.

Penggantian kiswah sebelumnya dibuat pada musim haji khususnya pada 9 Zulhijjah selepas jemaah bergerak ke Arafah, sebagai persiapan menerima jemaah keesokan harinya, bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha.

Tugas pemasangan itu dilakukan oleh pasukan khas dari Kompleks Raja Abdulaziz, yang dianggotai 159 tenaga mahir di bawah pengawasan jurutera dan juruteknik terlatih untuk proses rumit ini.

Menurut SPA, pasukan khas ini mula menanggalkan kepingan kiswah lama sebelum digantikan dengan baharu, yang dibawa ke Masjidil Haram dari kompleks tersebut.

Pasukan operasi kompleks termasuk 159 tenaga mahir terlibat dalam menghasilkan 56 keping kiswah ditenun dengan benang emas, secara sulaman tangan.

Setiap kepingan mengambil masa antara 60 hingga 120 hari untuk disiapkan.

Sejumlah 120 kilogram benang emas, 100 kilogram benang perak dan 1,000 kilogram sutera berkualiti tinggi digunakan dalam penghasilannya.

Untuk memasang kiswah, keempat-empat sisi perlu dinaikkan secara berasingan ke bahagian atas Kaabah untuk membolehkan proses rumit dilakukan.

Selepas semua sisi dipasang, sudutnya dijahit dari atas penutup hingga ke bawah,

Kemudian tirai dipasang, yang memerlukan memerlukan masa dan kemahiran dalam pemasangannya.

Satu bukaan dibuat dalam kain hitam yang berukuran kira-kira 3.33 meter lebar dan panjang 6.35 meter sehingga hujung penutup, kata SPA.

Pada 22 Mei, kira-kira tiga minggu sebelum musim haji, bahagian bawah kiswah dinaikkan.

Prosedur ini diulang setiap tahun untuk melindungi kiswah daripada kotor dan rosak ketika jemaah melakukan tawaf di sekitar Kaabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN