KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini, mengakui dia mengagumi ketabahan wanita bergelar ibu meskipun bukan bergelar ibu tunggal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rita berkata, dia percaya setiap wanita yang bergelar ibu sedang berjuang dalam gelanggang masing-masing terutama membahagikan ‘watak’ sebagai ibu, isteri, menantu dan ipar duai dalam sesebuah keluarga.
“Kalau cakap pasal anugerah khusus untuk golongan ibu tunggal ini, tak semestinya kita harus lihat pada satu aspek sahaja. Bagi saya, setiap ibu, bukan sahaja ibu tunggal, bukan sahaja yang tak ada suami, yang masih ada suami pun ada antaranya melalui kesusahan dan kepayahan.
“Sebenarnya, ramai sahaja golongan ibu yang masih ada suami tetapi mereka berjuang bersendirian atas beberapa faktor. Mungkin suami sakit, suami culas tanggungjawab, suami tak main peranan, semuanya menjadikan golongan ibu perlu jadi wanita yang tabah mengemudi keluarga.
“Jadi ibu ini bukan senang. Semua perlu dijaga hinggakan ada antaranya menanggung perasaan yang berat di dada kerana terpaksa diam dan yang inilah orang tak nampak dan tak tahu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ditanya mengenai pendapat warganet bahawa dia merupakan selebriti paling layak menggenggam Anugerah Ikon Ibu Tunggal berbanding Puteri Sarah Liyana, Rita berkata, dia menghargai pandangan semua pihak.
Kata Rita, sebagai seorang individu dan ibu tunggal kepada dua anak, dia tidak menolak kemungkinan masyarakat menjadikan kisah dan perjalanan hidupnya sebagai satu inspirasi dan motivasi.
“Bagaimanapun, saya sedar, bukan saya seorang sahaja bergelar ibu tunggal. Ada ramai lagi yang lebih susah. Mungkin juga betul orang kata ada ramai lagi ibu tunggal yang perjalanan hidupnya lebih tragis dan sesuai diangkat sebagai ikon.
“Kita terima dan rai semua pendapat. Cuma, mungkin penganjur majlis merasakan Puteri Sarah layak dan kisahnya dapat dijadikan inspirasi.
“Saya okey dan menyokong kawan-kawan mengalami nasib yang sama, jadi ibu tunggal macam saya. Setiap daripadanya ada jalan cerita dan ranjau yang mereka lalui.
“Adakala tengok orang macam kami ini gelak-gelak, bukan bermakna kami tak menangis. Iyalah, tak akanlah kami nak menangis depan kamera pula,” katanya.
Baru-baru ini, pelakon, Puteri Sarah diangkat sebagai Ikon Ibu Tunggal sempena Malam Anugerah Mommyhana yang kemudiannya menjadi perdebatan banyak pihak.
Kalangan warganet menyifatkan, berbanding bekas isteri pengarah, Syamsul Yusof itu, selebriti yang lebih layak merangkul anugerah tersebut adalah Rita Rudaini. – UTUSAN










