Kes kencing tikus di Melaka meningkat tetapi terkawal

Kes kencing tikus di Melaka meningkat tetapi terkawal

MUHAMAD AKMAL Saleh (tengah) merasmikan Sambutan Hari Zoonosis Sedunia Peringkat Negeri di Zoo Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bilangan kes leptospirosis atau kencing tikus yang didaftarkan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga 6 Julai lalu menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 80 kes, berbanding hanya 28 kes sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun orang ramai diminta tidak panik kerana situasi masih terkawal.

Menurut beliau, lonjakan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh kes yang berlaku di tiga kawasan rekreasi iaitu Laman Tiga Budaya, Asahan; Kolam Air Panas Jasin dan Taman Eko Rimba, Selandar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiga tempat rekreasi ini antara teramai (kes) tetapi tidak semua kerana ada kes terpencil yang berlaku di tempat lain. Alhamdulillah setakat ini kita boleh kawal dengan baik dengan menutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan.

“Kita minta mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana pegawai kesihatan akan membuat pemeriksaan sebelum premis dibenarkan beroperasi. Sekarang ini semua tempat yang terjejas telah dibuka semula kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Zoonosis Sedunia Peringkat Negeri di Zoo Melaka di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Akmal menafikan dakwaan bahawa wad kanak-kanak Hospital Melaka mengalami kesesakan.

Katanya, keadaan di wad berkenaan masih terkawal dan sekiranya penuh pesakit akan dihantar ke hospital-hospital daerah.

“Kadang-kadang ikut pada waktu puncak ketika peralihan orang keluar dan yang hendak masuk wad mungkin lambat sedikit. Jadi tuduhan wad kanak-kanak penuh melampau tidak benar.

“Setakat ini kita masih terkawal dan insya-Allah kalau tidak terkawal kita ada back up (perancangan) lain. Kita akan salurkan (tempatkan)kepada hospital-hospital daerah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN