HULU SELANGOR : Suspek lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dibawa sekali lagi ke Kampung Sri Kledang di sini hari ini.
Lelaki berusia 26 tahun itu dilihat dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan barang bukti yang berada di sebuah parit di lokasi kejadian.
Suspek yang juga anggota polis di sebuah balai di Perak dilihat berpakaian baju lokap berwarna oren lengkap bergari selain dikawal ketat beberapa anggota polis ke lokasi pencarian kira-kira pukul 11.40 pagi.
Kira-kira lima minit kemudian, suspek dibawa semula ke kenderaan polis jenis Proton Preve dan operasi mencari bahan bukti diteruskan.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan pertelingkahan antara suspek dengan mangsa sebelum dibunuh.
Media semalam melaporkan, suspek dipercayai membunuh Nur Farah Kartini,25, merupakan teman lelakinya.
Mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 11 Julai lalu, mangsa dilaporkan mangsa hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.- UTUSAN










