KEMAMAN: Meskipun ada kaedah moden untuk proses pengeringan keropok keping, rata-rata pengusaha di negeri ini masih menggunakan cara tradisional, iaitu menjemurnya di bawah cuaca panas.
Pengusaha keropok keping di Kampung Geliga, Erawati Zakaria, 43, berkata, dia yang mengusahakan perniagaan jenama Seri Pantai menggunakan kaedah lama bagi menghasilkan keropok keping lebih berkualiti dan sedap.
“Keropok yang dijemur di tengah panas lagi berkualiti, rasa isi ikannya lebih manis, sedap dan baunya tidak hapak.
“Bentuk keropok pun berbeza, akan lebih terbentuk berbanding keropok yang dikeringkan dalam ketuhar akan jadi leper dan rasanya kurang enak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Erawati yang mengusahakan perniagaan keropok keping sejak 17 tahun lalu berkata, kaedah pengeringan keropok di bawah panas terik juga dapat menjimatkan masa dan kos elektrik.
“Setiap hari, saya akan mula menjemur lebih 100 kilogram keropok keping seawal pukul 8 pagi dan mengambil masa kira-kira enam jam untuk kering bergantung kepada cuaca. Kalau panas terik, waktunya lebih singkat, kalau mendung, mungkin memakan masa hingga 10 jam hingga dua hari.
“Kalau menggunakan ketuhar, boleh dikatakan 24 jam masa diperlukan untuk keropok betul-betul kering,” katanya.
Dia berkata, lazimnya keropok keping yang dibuat daripada ikan tamban dan ikan parang mendapat permintaan tinggi dan dijual pada harga RM30 satu kilogram. – UTUSAN











