KOTA BHARU: Kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) bagi membantu kontraktor yang mendapat kontrak kerja sebelum pengumuman penyelarasan subsidi diesel yang diperkenalkan kerajaan sejak 10 Jun lalu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu tersebut juga tidak akan berbangkit bagi kontrak-kontrak selepas penyelarasan subsidi diesel.
“Bagi kontrak-kontrak selepas penyelarasan subsidi VOP sudah pasti termasuk dalam harga ditawarkan dalam surat setuju terima serta dokumen kontrak di bawah bil kuantiti (BQ).
“Setakat ini kerajaan hanya bersetuju melaksanakan VOP sahaja dan tidak melibatkan lain-lain bentuk subsidi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-47 Persatuan Kontraktor Malaysia di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkara, sekiranya kerajaan memberikan lain-lain subsidi kepada jentera-jentera berat melibatkan industri pembinaan maka penjimatan subsidi tidak akan mencecah sehingga RM4 bilion.
“Saya ingin memaklumkan, hanya RM4 bilion daripada keseluruhan RM14 bilion subsidi ini yang ditarik. Kerajaan masih mengekalkan sehingga RM10 bilion subsidi diesel,” ujarnya.
Ahmad berkata, kajian pihaknya mendapati penyelarasan subsidi diesel menyebabkan semua peringkat kontraktor bermula G1 hingga G7 terpaksa menanggung kenaikan kos pembinaan sebanyak tujuh hingga lapan peratus.
Katanya, kajian tersebut akan diteruskan dalam beberapa bulan akan datang dan yakin tidak akan berlaku kenaikan berterusan atau mendadak kerana ia turut terikat dengan faktor penawaran serta permintaan.
“Kita tahu dalam hukum ekonomi, jika harga barang tinggi maka permintaan akan rendah sehingga ia sampai ke titik equlibrium. Jadi tidak semestinya kos bahan binaan akan terus naik dan mungkin menurun apabila permintaan terhadap bahan binaan merosot.
“Saya juga dimaklumkan oleh Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) bahawa tidak semua bahan binaan terkesan dengan penyelarasan subsidi diesel kerana ada sebahagian bahan binaan boleh dibawa menggunakan kenderaan yang mendapat kad fleet,” katanya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan kaedah VOP yang dimansuhkan pada 2022 bagi membantu kontraktor yang terkesan ekoran kenaikan harga bahan binaan susulan penyelarasan subsidi diesel.
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata, ia masih dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).











