Kerajaan salur RM6 juta perkasa sektor koperasi

Kerajaan salur RM6 juta perkasa sektor koperasi

Anwar Ibrahim melakukan lawatan mengejut untuk melihat sendiri keadaan di Pasar Datuk Keramat, di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk memperkasa dan memperkukuhkan sektor koperasi di negara ini.

Jumlah itu antaranya merangkumi RM1 juta untuk program Koperasi ASEAN bagi melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang negara ini menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu gerakan koperasi dimasukkan sebagai satu daripada agenda ASEAN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini belum lagi, saya mahu Ketua Setiausaha Negara ingat perkara ini dalam mesyuarat Kabinet minggu akan datang.

“Saya mahu koperasi dimasukkan sebagai rantaian ekonomi ASEAN. Ini penting kerana mahu penyertaan koperasi di peringkat antarabangsa,” katanya dalam majlis penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.

Dalam memperincikan peruntukan tersebut, Anwar berkata, kerajaan mahu sektor koperasi memacu pertumbuhan negara di samping meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, kerajaan juga menyalurkan RM2 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) untuk program Perkampungan Madani.

“Kita ada Perkampungan Madani, sekarang program ini beberapa persatuan dan masjid serta wanita, saya nak masukkan koperasi di bawahnya.

“Ada peruntukan untuk Kedai Rahmah, saya mahu sebahagian peruntukan itu bermula dengan RM2 juta disalurkan kepada Angkasa,” katanya.

Selain itu, Anwar juga mengumumkan RM500,000 untuk koperasi masjid di desa dan RM500,000 iaitu latihan meningkatkan kompetensi koperasi desa yang disalurkan kepada Angkasa.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, beliau akan membawa agenda koperasi masjid dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya wujud usaha untuk membina kekuatan koperasi membabitkan institusi masjid.

“Ia supaya dibincangkan dalam MKI mengikat kerjasama negeri-negeri supaya masjid itu dimanfaatkan untuk membina kekuatan koperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kerajaan akan terus mengambil langkah secara langsung untuk membantu rakyat yang berdepan kenaikan kos hidup.

Katanya, meskipun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan positif untuk suku kedua tahun ini selain kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, namun ia tidak menunjukkan masalah sedang dihadapi rakyat menemukan jalan penyelesaian.

Oleh demikian, menurut Anwar, kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup dengan membantu rakyat mengimbangi impak kenaikan harga barang seiring petunjuk positif pertumbuhan ekonomi negara pada ketika ini.

Jelasnya, antara usaha yang dilakukan kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pengumuman sistem saraan baru perkhidmatan awam yang bakal menyaksikan kenaikan gaji kakitangan kerajaan dalam tempoh terdekat.

“Jumlahnya (STR) RM10 bilion, bukan kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN