JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa kerajaan untuk melindungi pengguna daripada produk berkaitan Israel, susulan import barangan dari negara haram itu yang kian meningkat.
Walaupun Jakarta tiada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv, data terkini Agensi Statistik Pusat negara menunjukkan peningkatan hubungan ekonomi dengan Israel, apabila import ke Indonesia direkodkan berjumlah lebih AS$35 juta (RM163.5 juta) antara Januari hingga Mei lalu.
Jumlah itu hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada AS$8.85 juta (RM41.3 juta) yang dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun 2023, dan melebihi jumlah keseluruhan tahun lalu, sebanyak AS$21.9 (RM102.3 juta).
Data rasmi menunjukkan eksport Israel dari Indonesia mencecah lebih AS$66 juta (RM308 juta), pada Mei.
Jumlah perdagangan yang semakin meningkat menjadi tajuk utama di media tempatan awal bulan ini, sekaligus mendorong kerajaan untuk bertindak.
Susulan itu, MUI, yang merupakan badan agama tertinggi di Indonesia, berkata, hubungan perdagangan tersebut mesti dihentikan.
Pengerusi Perhubungan Luar MUI, Dr. Sudarnoto Abdul Hakim berkata, kerajaan mesti melindungi pengguna Indonesia di bawah undang-undang sedia ada.
“Kita mempunyai Undang-Undang Perlindungan Pengguna, jadi kerajaan perlu mematuhinya untuk melindungi pengguna daripada produk Israel, walau apa pun jenisnya,” katanya kepada Arab News.
Beberapa minggu selepas permulaan pencerobohan rejim Zionis, MUI mengeluarkan fatwa yang melarang umat Islam Indonesia daripada membeli produk berkaitan Israel.
“Sebarang perdagangan akan membawa keuntungan, dan apa pun nilai import kita dari Israel, sudah tentu terdapat keuntungan yang terlibat.
“Keuntungan kewangan ini boleh memainkan peranan penting dalam membiayai program utama Israel sekarang. Oleh kerana agenda utama Israel sekarang adalah mengakhiri Palestin, maka kita jangan menyokongnya,” kata Sudarnoto.
Beliau berkata, kewujudan hubungan perdagangan terutama pertumbuhannya, memberikan ruang kepada Israel untuk mencuba saluran hubungan lain dengan Indonesia, maka ia dianggap berbahaya kerana boleh melemahkan semangat negara itu dalam mempertahankan Palestin.
Indonesia menjadi antara negara yang paling lantang menuntut penamatan pendudukan Israel di Palestin dan menghentikan sokongan ketenteraan antarabangsa serta penjualan senjata ke Tel Aviv, terutama sejak permulaan pencerobohan maut di Gaza.











