KOTA KINABALU: UMNO perlu mengenal pasti pendekatan sesuai dalam mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata, UMNO mempunyai dua pilihan untuk mengembalikan semula keyakinan pengundi Melayu terhadap parti tersebut.
“Kita perlu memilih satu antara dua pilihan yang wujud pada masa ini iaitu pertama mengambil tanggapan bahawa orang Melayu banyak terhutang budi kepada UMNO atas usaha mendapat kemerdekaan pada tahun 1957 dan pelbagai bantuan khas yang telah diberikan oleh UMNO kepada orang Melayu.
“Pilihan kedua adalah mengambil tanggapan bahawa UMNO banyak terhutang budi kepada orang Melayu kerana memberi peluang kepada UMNO memerintah negara selama 60 tahun,” katanya dalam rasmi Facebooknya, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, beliau yakin sekiranya pendekatan yang sesuai diambil maka, harapan untuk menarik balik sokongan dan kembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO akan tercapai. – UTUSAN










