Kedaulatan Sabah tidak akan dibincang

Kedaulatan Sabah tidak akan dibincang

ANWAR Ibrahim ketika melancarkan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bertegas tidak akan berbincang sebarang isu berkaitan kedaulatan Sabah dengan mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan melayan sebarang desakan Filipina untuk menuntut Sabah dan tidak mungkin terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak serta kedaulatan negara.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur (walaupun) satu inci tanah rakyat kita dan tidak mungkin terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024 di sini, semalam.

Anwar bagaimanapun memberitahu, walaupun berdepan dengan tuntutan seumpama itu, hubungan diplomatik Malaysia dengan Filipina kekal baik.

Malah, katanya, hubungan peribadi beliau dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr pada tahap sangat rapat dan akrab.

“Jalur ini harus dimanfaatkan untuk keselamatan. Pasukan kita harus mengerti sejarah telah membuktikan serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lalu berlaku dalam keadaan tidak diduga,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Dalam nota diplomatik itu, kerajaan Malaysia berkata, ia ‘secara jelas’ menolak pemfailan itu dengan alasan pemanjangan sempadan pelantar benua yang dikemukakan Filipina dilakukan berdasarkan garis dasar Sabah.

Tindakan itu, katanya, jelas mengabaikan kedaulatan Malaysia yang tidak dapat dipertikaikan lagi terhadap Sabah.

Semalam, Kementerian Luar menegaskan pendirian bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada Malaysia, malah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf mana-mana tuntutan terhadap Sabah.

Ini kerana, katanya, Sabah sudah diiktiraf oleh PBB dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Rakyat Sabah telah melaksanakan hak penentuan nasib sendiri (self-determination) berhubung pembentukan Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia dan memastikan agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara sentiasa dilindungi pada setiap masa, tegas Wisma Putra.

Kenyataan itu susulan penularan satu video dalam media sosial yang mengandungi kandungan tidak berasas dan mengelirukan dengan mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Anwar memberi jaminan Malaysia tidak menghadapi ancaman membimbangkan setakat ini susulan pertikaian wilayah Laut China Selatan.

Katanya, walaupun isu itu berpanjangan, hubungan Malaysia dengan negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China adalah baik.

Beliau menjelaskan, Malaysia tidak terikut dengan kerangka diplomasi asing, sebaliknya menentukan kepentingan dan strategi negara sendiri.

“Dalam pengalaman kita, setakat ini kita tidak hadapi ancaman yang dianggap membimbangkan.

“Hubungan kita sangat baik walaupun kalau kita lihat media Barat menekankan seolah-olah ada cetusan dan pelanggaran beberapa peraturan oleh China tapi hubungan kita dengan China menunjukkan semua permasalahan boleh diselesaikan di meja rundingan secara teratur dan sopan,” katanya.

Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.

Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan tahap keselamatan nelayan di perairan Laut China Selatan sentiasa terjamin ekoran dakwaan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) berhampiran perairan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×