PONTIAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pontian menafikan Sungai Ayer Baloi tidak digali sejak enam tahun lalu, sebaliknya kerja tersebut pernah dilaksanakan pada 2021 dan 2022.
Jurucakapnya memberitahu, pada 26 Mei lalu, pihaknya membuat lawatan bersama ketua kampung dan penduduk selepas menerima aduan.
“Kami sentiasa berusaha untuk melayan setiap aduan dan permasalahan dihadapi penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan dakwaan pekebun-pekebun kelapa sawit yang Sungai Ayer Baloi tidak digali selama enam tahun menyebabkan berlaku banjir termenung melibatkan kebun mereka.
Mereka juga mendakwa masalah tersebut telah banyak kali diajukan kepada pihak berkenaan, namun diberitahu tiada peruntukan bagi pembersihan dan penggalian sungai ketika ini.
Tambah jurucakap itu lagi, sebagai jalan penyelesaian, pihaknya telah mengemukakan permohonan baki peruntukan Pembangunan Negeri (P75) untuk tahun ini bagi melaksanakan kerja-kerja penggalian Sungai Ayer Baloi.
“Anggaran kos yang diperlukan ialah sebanyak RM89,200, namun bergantung kepada kelulusan yang diterima,” ujarnya.
Menurutnya, mengikut rekod, kerja-kerja penyelenggaraan Sungai Ayer Baloi sepanjang 8,074 meter telah dilakukan pada 30 September 2021 dan selesai dijalankan pada 9 Disember 2021 dengan kos RM154,206.
“Kerja-kerja pemuliharaan Sungai Ayer Baloi bagi mengurangkan risiko banjir pula telah dijalankan pada 27 Mac 2022 dan selesai pada 17 Julai 2022 dengan kos sebanyak RM74,540,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya sentiasa peka dan peihatin dengan permasalahan dihadapi oleh orang ramai termasuk pekebun-pekebun dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya. – UTUSAN











