Johor tubuh JTDC atasi isu kekurangan tenaga kerja mahir - Utusan Malaysia

Johor tubuh JTDC atasi isu kekurangan tenaga kerja mahir

ONN Hafiz Ghazi (enam kanan) bergambar bersama Ahmad Zahid Hamidi serta delegasi kerajaan negeri yang menghadiri mesyuarat khas di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja mahir yang diperlukan selari dengan pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penubuhannya penting bagi memastikan inisiatif ekonomi berimpak tinggi itu dapat dijayakan dengan baik, sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030.

Katanya, jumlah pekerjaan di negeri ini telah meningkat sejak Januari lalu dengan 74,710 kekosongan jawatan diiklankan, namun hanya 51,946 pemohon direkod.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menurut statistik, 22.3 peratus graduan di Johor bekerja dalam pekerjaan tidak setaraf dan 20 hingga 60 peratus graduan Kolej Vokasional di Johor bekerja luar bidang atas faktor ketidakpadanan. 

“Justeru, kerajaan negeri telah mencadangkan agar JTDC ditubuhkan. Antara yang dipersetujui adalah menjadikan JTDC pusat sehenti bagi memudahkan operasi, pengambilan pekerja serta kemasukan pelabur di Johor dan pusat perhubungan antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri.

“Selain itu, ia juga bertujuan melaksanakan kajian keberhasilan program dan kursus sedia ada serta penyasaran semula kursus-kursus yang bertepatan dengan keperluan industri dan sebagai pusat pengumpulan data oleh kementerian, agensi dan pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur. 

Onn Hafiz yakin penubuhan JTDC akan menjadi usaha serampang dua mata yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan industri, terutamanya di Johor dan Malaysia secara keseluruhannya.

“Insya-Allah, dengan dasar komprehensif dan sokongan padu semua pihak, saya yakin JTDC akan memainkan peranan penting menjadikan Johor negeri maju serta menjadi rujukan utama dalam memenuhi keperluan tenaga mahir tersedia yang mencukupi dan mapan,” jelasnya.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, inisiatif JS-SEZ akan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN