JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri melancarkan Op Longkang dan Parit secara besar-besaran bertujuan menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku, khususnya di daerah ini dan Kulai.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, operasi itu untuk menyelenggara dan membersihkan longkang dan parit di negeri ini bermula dengan daerah Johor Bahru.
“Isu banjir kilat yang sering berlaku, terutamanya di kawasan bandar kebiasaannya berpunca daripada longkang-longkang, sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan baik.
“Perkara ini telah dibincangkan semasa perjumpaan bersama semua agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah serta syarikat konsesi.
“Mereka juga akan berjumpa dengan saya setiap bulan bagi melaporkan perkembangan operasi berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan pertemuan dengan agensi-agensi terlibat, di sini.
Beliau menggesa semua agensi berkaitan memainkan peranan masing-masing dan memikul tanggungjawab itu secara berpasukan.
“Ambil serius setiap aduan yang diterima agar masalah seperti longkang tersumbat, rosak serta penuh dengan semak-samun dan sampah-sarap diselesaikan dengan segera.
“Saya juga menyeru kepada semua rakyat Johor untuk menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata. Marilah membangunkan negeri yang bersih dan selesa demi kemaslahatan bersama,” katanya. – UTUSAN











