ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat menganjurkan lebih banyak temasya sukan bertaraf antarabangsa bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, temasya sukan bertaraf antarabangsa adalah salah satu produk utama yang akan merancakkan Tahun Melawat Johor 2026.
“Kedudukan Johor yang berhampiran dengan Singapura dan Indonesia cukup strategik bagi menarik kehadiran pelancong masuk ke negeri ini. Justeru, kita perlu menjadi tuan rumah bagi lebih banyak acara sukan bertaraf antarabangsa.
“Kita berhasrat untuk memajukan pelancongan sukan sebagai salah satu produk yang meletakkan nama Johor di peta dunia,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Maybank bagi menganjurkan Maybank Cycling Series Johor di Kota Iskandar, di sini yang turut dihadiri Pengarah MSNJ, Mohd. Ekmaluddin Ishak dan Ketua Kumpulan Pemasaran Maybank, Shazlina Md. Suffian.
Mohd. Hairi berkata, kejayaan Johor menjadi tuan rumah bagi beberapa penganjuran sukan bertaraf antarabangsa mampu menjadikan negeri ini sebagai hab pelancongan sukan negara.
“Acara Maybank Cycling Series Johor ini juga tidak terkecuali, kami menjangkakan satu impak yang besar dengan penyertaan lebih 7,000 peserta,” katanya.
Maybank Cycling Series Johor dijadual berlangsung pada 14 September ini di Iskandar Puteri yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu Road Race (120 km) dan Fellowship Ride (60 km).
Kayuhan bermula dari Sunway Big Box dan akan melalui pusat tarikan di Iskandar Puteri seperti Legoland dan EnerG X Park, Leisure Farm Resort, Kukup Golf Resort dan Muzium Bugis.
“Kebanyakan destinasi ini bukan sahaja mempamerkan warisan dan budaya Johor, malah menyerlahkan komitmen untuk memupuk kelestarian,” kata Mohd Hairi sambil memaklumkan pendaftaran boleh dibuat menerusi www.johorcyclingseries.com. – UTUSAN










