JKOA hadkan kemasukan NGO pada musim tengkujuh

JKOA hadkan kemasukan NGO pada musim tengkujuh

RAMLI Mohd. Nor (kanan) menyampaikan surat lantikan kepada Pengerusi JPKKOA Orang Asli di Dewan Bonda Yah, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengeluarkan satu makluman khas bagi mengehad pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masuk ke kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman pada musim tengkujuh. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, makluman itu akan dibuat apabila menjelang musim tengkujuh bagi mengelakkan berlaku kerosakan jalan perhubungan keluar dan masuk masyarakat Orang Asli.

Menurutnya, Jakoa bagaimanapun tidak pernah menghalang kemasukan pihak NGO ke kawasan pedalaman Orang Asli, namun terpaksa mengehadkan perjalanan pada musim tengkujuh.

“Kita bukan menghalang malah menggalakkan kemasukan mereka kerana tahu NGO juga banyak membantu Jakoa dalam menyelesaikan isu yang tidak dapat ditangani seperti bantuan kesihatan. 

“Memandangkan cuaca tidak menentu, kita mengeluarkan arahan mengenai kemasukan mereka ke sana. Perjalanan perlu dihadkan kerana banyak jalan rosak semasa musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Penghulu, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu 2024 di Dewan Bonda Yah, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, hari ini.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor.

Sapiah memberitahu, pihak NGO boleh menyalur bantuan melalui Jakoa sekiranya ada bantuan yang ingin disampaikan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman semasa musim tengkujuh.

Katanya, permohonan masuk untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu dikemukakan sebulan atau dua minggu sebelum program dijalankan.

“Sekiranya ada bantuan, boleh disalurkan kepada Jakoa. Kita ada jadual penghantaran bantuan untuk membantu masyarakat Orang Asli di pedalaman.

“Penerbangan helikopter untuk menghantar bantuan seperti dilakukan setiap tahun jika mereka tidak boleh memasuki kampung Orang Asli menggunakan jalan darat,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN