SEREMBAN: Seramai 102 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dalam serbuan selama dua hari yang dijalankan di sekitar daerah ini dan Jelebu bermula semalam.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 17 hingga 55 tahun terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar, India, China dan juga Thailand.
Menurut beliau, antara lokasi yang digempur termasuklah tapak projek pembinaan, taman perumahan, pusat hiburan, restoran dan juga rumah kedai.
“Pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan dan maklumat awal yang disalurkan kepada kami tentang penyalahgunaan pas serta tidak mempunyai permit atau dokumen yang sah yang membawa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Seramai 127 orang telah diperiksa dan seramai 102 orang telah ditahan semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota penguatkuasa JIMNS.
“Hasil pemeriksaan di premis yang terlibat juga mendapati terdapat pekerja-pekerja warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta pas yang sah dan juga terdapat beberapa pekerja menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) sedia ada,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Kennith Tan lagi, semasa serbuan ada dalam kalangan PATI yang nekad terjun ke dalam longkang yang dalam ada yang bertindak bersembunyi di atas siling yang sempit dan gelap selain cubaan menyorok di dalam kawasan semak yang tebal bagi mengelak daripada dicekup anggota penguatkuasaan.
“Sungguhpun begitu, kesemuanya berjaya diberkas oleh pasukan serbuan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan bagi operasi tersebut akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng di sini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, sebanyak 11 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.-UTUSAN.











