JOHOR BAHRU: Kanak-kanak yang diculik, Albertine Leo Jia Hui, 6, disahkan tidak diapa-apakan oleh suspek sepanjang tempoh dia dilarikan dan dikurung di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, perkara itu berdasarkan laporan kesihatan yang dikeluarkan pihak hospital semasa pemeriksaan dilakukan terhadap mangsa.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan laporan kesihatan turut mengesahkan kanak-kanak itu selamat,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar turut memberitahu, motif kes penculikan itu hanya akan didedahkan selepas siasatan lengkap dijalankan.
“Pada masa ini siasatan masih dijalankan dan saya tidak mahu dedah apa-apa selagi siasatan belum selesai.
“Apabila semua selesai, baru kami dedahkan motif dan sebagainya. Jika saya beritahu awal ia mungkin akan mengganggu proses siasatan,” katanya sambil mengakui kejayaan menyelesaikan kes penculikan itu adalah pencapaian baik bagi polis negeri ini.
Semalam, perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun yang ditahan bersama-sama mangsa di sebuah bilik hotel bajet di Batang Kali pada 23 Julai lalu disambung enam hari lalu hingga Ahad ini.
Pada 20 Julai lalu, kehilangan Jia Hui disedari hilang oleh ahli keluarganya pada pukul 8.30 malam ketika Festival Bon Odori di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri. – UTUSAN











