PETALING JAYA: Lawak jenaka atau gurauan sehingga mengaibkan individu lain antara 9,483 laporan kes diklasifikasi buli siber diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.
Mengikut MCMC, ramai pemilik akaun media sosial menganggap komen atau tulisan berbentuk gurauan sebagai perkara biasa.
Sebaliknya, kata MCMC, sikap terlalu selesa dan tidak kisah dengan kesan komen yang dilakukan mereka sebenarnya antara yang menyumbang kepada peningkatan kes buli siber secara berterusan.
“Sikap masyarakat yang meluangkan lebih banyak masa dalam media sosial sekali gus membuka ruang dan peluang berlakunya kes ‘membuli’ dalam platform itu dengan lebih banyak.
“Justeru, kerajaan perlu meneliti segala aspek undang-undang bagi menangani gejala yang dilihat membimbangkan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Berikutan itu, kata MCMC, pelaksanaan intervensi undang-undang perlu dipertimbang kerana ia dilihat dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kes buli siber.
“Sudah tentu kita tidak mahu tindakan terhadap isu ini sekadar bermusim. Perkara ini penting kerana isu buli siber ini bukanlah perkara yang main-main selain berpotensi berlakunya kemurungan terhadap individu terbabit sehingga naluri atau keinginan untuk bunuh diri adalah lebih tinggi,” katanya.
Semalam , akhbar ini melaporkan, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Menerusi data MCMC menunjukkan secara purata sebanyak 10 kes buli siber setiap hari dipercayai berlaku di negara ini dalam tempoh dua tahun sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.
Jumlah itu membabitkan 4,878 bagi wanita manakala 4,605 kes lagi berlaku kepada lelaki.
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020 pula menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia dan ia menjadi masalah terbesar dalam negara.
Menerusi laporan Digital Global 2024 pula mendapati kira-kira 9.4 juta atau 57.4 peratus kalangan belia negara ini lebih cenderung menjadi pembuli dan mangsa siber kerana golongan tersebut lebih banyak meluangkan masa dalam media sosial.
Daripada jumlah itu, 57.4 peratus membabitkan belia berumur 18 sehingga 34 tahun yang meluangkan masa melebihi lima jam sehari di media sosial sehingga menjurus kepada perbuatan buli siber.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, penggunaan media sosial secara meluas dalam kalangan belia menggalakkan perbuatan buli siber dan ramai kalangan mereka bersikap buruk.
“Kebiasaan pembuli dan mangsa pembuli dalam kalangan belia ini adalah disebabkan ketidakstabilan emosi.
“Ia juga mungkin disebabkan kekurangan kasih sayang ahli terdekat yang menyebabkan membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian daripada orang asing.
“Kebanyakkan buli siber sering terjadi kepada golongan wanita walaupun mengikut jumlah media sosial golongan lelaki paling ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










