SEREMBAN: Beberapa kawasan sesuai khususnya di daerah Jelebu sedang dikenal pasti untuk dijalankan projek awal tanaman durian sebagai usaha menjadikan daerah tersebut sebagai antara kawasan pengeluaran durian terbesar termasuk untuk dieksport ke China.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, untuk tujuan itu juga sebahagian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) juga telah diminta untuk mula menamam durian selain pekebun-pekebun kecil yang mempunyai tanah yang boleh diusahakan dengan tanaman raja buah itu.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menambah, usaha menjadikan daerah Jelebu sebagai kawasan pengeluaran durian utama tidak mustahil direalisasikan apatah lagi sebuah kilang pemprosesan durian akan diwujudkan di daerah itu kelak.
“Di Jelebu sudah ada kawasan pengeluaran durian daripada pelbagai jenis durian yang berkualiti iaitu seperti Musang King, Duri Hitam, Tupai King, IOI dan D24, dalam tempoh lima atau enam tahun insya-Allah, daerah Jelebu akan menjadi pengeluaran durian terbesar.
“Untuk tujuan itu juga, program melatih penanam-penanam durian untuk melakukan penanaman bagi mendapatkan hasil baik juga perlu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Institusi Pendidikan Mara (Kipma) Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu juga memberitahu tidak mustahil untuk sebuah konsortium pengusaha diwujudkan bagi merealisasikan hasrat itu.
“Saya mahu supaya antara pengusaha bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk mendapatkan lesen eksport buah-buahan termasuk bagi tujuan menampung keperluan dan kebajikan penanam durian.
“Ada orang kata kalau terlebih bekalan harga itu akan jatuh jadi untuk mengelakkan perkara itu berlaku maka daripada sekarang kita perlu merancang bagaimana untuk kita eksport keluar durian untuk mendapat pasaran lebih baik,” katanya.-UTUSAN.











