Isteri ugut suami dijel, denda, teman lelaki mengaku tak bersalah - Utusan Malaysia

Isteri ugut suami dijel, denda, teman lelaki mengaku tak bersalah

SYUZZANA Yahaya dan Mohd. Feardous Osman didakwa mengugut Zakaria Mohd. Nooh untuk memasukkan wang RM2,000 di Mahkamah Majistret Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang isteri yang bersekongkol dengan seorang lelaki melakukan ugutan terhadap suaminya dipenjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan berkenaan.

Jika gagal membayar denda berkenaan, Majistret Nur Azzuin Abdul Moati turut memerintahkan tertuduh, Syuzzana Yahaya, 32, dipenjara tiga bulan lagi.

Walau bagaimanapun,  Mohd. Feardous Osman, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

Berdasarkan kertas Syuzzana dan Mohd. Feardous didakwa bersama-sama melakukan pemerasan menerusi aplikasi WhatsApp terhadap Zakaria Mohd. Nooh, 41, dengan mendatangkan ketakutan untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai.

Pesanan WhatsApp itu meminta wang sebanyak RM2,000 dipindahkan ke dalam akaun selain ugutan tidak melibatkan polis jika tidak mahu isteri dan anak-anak mati kelaparan atau salah seorang ahli keluarga tidak akan selamat. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jasa Sepakat, Batu 30, Jalan Johor, Pekan Nanas Pontian, pukul 12.14 tengah hari pada 26 Julai lalu dan kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Mohd. Feardous dalam rayuannya meminta dibebaskan dengan ikat jamin lebih rendah kerana menjaga seorang anak serta ibunya dengan pendapatan RM1,000 sebulan sebagai pekerja di kedai makan. 

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang disangka hilang bersama-sama tiga anak ketika dalam perjalanan  ke Kota Tinggi, rupa-rupanya  bersekongkol dengan teman lelakinya untuk mengugut suami menyerahkan wang sebanyak RM2,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×