SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kehilangan kutipan hasil lebih RM500,000 gara-gara pememasangan papan tanda iklan haram.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, jumlah berkenaan berdasarkan anggaran RM1,200 untuk cukai taksiran, permit bangunan, lesen iklan dan sewa tanah.
“Secara mudahnya anggaran sekitar RM1,200 sehingga RM1,500 kutipan hasil cukai taksiran boleh diperoleh kerajaan negeri dan PBT untuk diberi kelulusan permit bagi setiap papan iklan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Pemantauan Papan Tanda Iklan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS)
Menurut Mohd. Zafir, syarikat terlibat gagal untuk mematuhi peraturan dan sewenang-wenangnya menaikkan papan iklan tanpa kelulusan, kerana beranggapan tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
“Ada juga kes berulang. PBT telah merobohkan papan iklan haram tersebut namun tidak lama kemudian, ia dinaikkan semula.
“Perkara ini juga dikenal pasti berlaku di beberapa kawasan di sekitar Bandar Ainsdale dan saya harap ia dapat diambil tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata, MBS merobohkan sebanyak 145 unit papan iklan haram yang dipasang sepanjang laluan Lebuhraya Utara Selatan sejauh 45 kilometer iaitu dari arah Bukit Mahkota sehingga ke Pedas (satu arah) daripada jumlah keseluruhan 225 unit tanda roboh yang dikeluarkan tahun ini.
“Usaha penguatkuasaan akan diteruskan bagi menyelesaikan baki papan iklan haram dan dijangka akan dapat diselesaikan menjelang 31 Ogos depan.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan dengan mengeluarkan kompaun, notis, tanda dan perobohan,“ katanya.
Beliau berkata, tindakan meroboh struktur haram perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan pengguna laluan PLUS. – UTUSAN










