AMSTERDAM: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membenarkan campur tangan tujuh negara dalam kes genosid yang dibawa oleh Gambia terhadap Myanmar.
Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, Britain dan Maldives memohon campur tangan dalam kes di ICJ pada November, tahun lalu.
Perintah ICJ secara sebulat suara semalam, membenarkan tujuh negara tersebut untuk menyumbang kepada prosiding dengan perspektif mereka mengenai tafsiran peruntukan Konvensyen Genosid.
Mahkamah juga mengisytiharkan campur tangan Maldives di bawah Perkara 63 Statut ICJ sebagai boleh diterima, membenarkan negara tersebut untuk menangani penafsiran peruntukan Konvensyen Genosid.
ICJ juga menerima deklarasi campur tangan bersama di bawah Perkara 63 yang dikemukakan oleh Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda dan United Kingdom (UK).
Dengan perintah ini, tujuh negara tersebut diberi kuasa, mengikut Perkara 86 Kaedah-Kaedah Mahkamah untuk mengemukakan pemerhatian bertulis mengenai perkara-perkara berkaitan dengan campur tangan mereka.
ICJ akan memutuskan pada peringkat seterusnya sama ada negara-negara itu akan dibenarkan untuk membentangkan pemerhatian mereka semasa prosiding lisan.
Kes itu yang dimulakan oleh Gambia pada November 2019, menuduh Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Rohingya.
Kemasukan campur tangan ini menyerlahkan minat dan penglibatan masyarakat antarabangsa yang meningkat dalam tafsiran undang-undang Konvensyen Genosid ketika mahkamah meneruskan kes penting itu.- ANADOLU











