PUTRAJAYA: Setakat ini, seramai 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata, individu berkenaan dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk dirakam keterangan berhubung isu berkenaan.
Beliau berkata, kesemua mereka terdiri daripada pegawai dan kakitangan HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Mereka tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini sekitar jam 10 pagi tadi. Kesemua 10 individu terbabit sudah hadir beri keterangan,” katanya.
Sebelum ini, Hishamuddin memaklumkan, proses mengambil keterangan sepatutnya dibuat semalam tetapi ditangguhkan hari ini.
Sejak kelmarin dan semalam, pegawai penyiasat SPRM dilihat memasuki bangunan KESUMA di sini serta ibu pejabat HRD Corp di ibu negara bagi mengambil dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.
Langkah SPRM itu susulan pendedahan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.
Hishamuddin dilapor berkata, fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.
Khamis lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 dilaporkan berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Sementara Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.










