PETALING JAYA: Harga ikan boleh melonjak melebihi dua kali ganda sekiranya aktiviti pencerobohan nelayan asing yang menyebabkan 50 peratus hasil laut negara dicuri tidak dibanteras.
Pakar Keterjaminan Makanan, Prof Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad berkata, negara dijangka berdepan masalah ikan mahal ekoran nelayan tidak mempunyai modal untuk meneroka laut dengan lebih luas dan perlu berdepan dengan pesaing negara-negara lain.
Menurut beliau, krisis ‘kecurian’ hasil laut negara sudah berlarutan terlalu lama dan memerlukan penyelesaian jangka panjang bagi mengelak negara menghadapi kekurangan bekalan ikan yang akan menyebabkan berlakunya peningkatan harga.
“Kerajaan kena beri sokongan besar kepada nelayan jika tidak mahu perkara ini (peningkatan harga ikan) berlaku, nelayan tempatan juga perlu ‘gagah’ untuk keluar ke laut lebih lama bagi membawa hasil ke darat.
“Ini kerana apabila kita kurang membawa hasil ke darat dan nelayan asing dapat menangkap ikan di perairan kita maka mereka akan eksport ikan itu kepada kita pula, ini sudah pasti meningkatan harga makanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini mendedahkan negara menghadapi kerugian sehingga RM823.88 juta akibat pencerobohan nelayan asing sepanjang tahun 2020 hingga 2023.
Lebih malang, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh dan Laporan Sea Around Us, hanya 50 peratus hasil laut negara mendarat di Malaysia manakala selebihnya dicuri oleh nelayan asing ke negara masing-masing.
Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, sebanyak RM225.22 juta kerugian dicatatkan pada tahun 2020, RM238.69 juta (2021), RM200.19 juta (2022) dan RM159.77 juta (2023).
Sependapat dengan itu, penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, harga ikan dijangka meningkat sehingga melebih 100 peratus atau dua kali ganda dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Ini kerana, jelasnya, penduduk Malaysia gemar memakan ikan sebagai sumber protein berbanding ayam dan daging, jadi ini menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan laut itu terus meningkat.
“Apa yang penting pada kita sekarang adalah kecukupan bekalan ikan kerana apabila bekalan ikan kurang maka akan menyebabkan harganya menjadi lebih mahal,” katanya.
Beliau berkata, negara perlu memikirkan cara atau inisiatif bagi menarik lebih banyak ikan ke dalam perairan negara bagi memudahkan para nelayan menangkap ikan dan membawa ke daratan negara.
“Kita tidak boleh menekankan sangat tentang hasil pendapatan tangkapan ikan di luar kawasan tangkapan kita seperti kawasan antarabangsa. Sebaiknya melakukan inisiatif-inisiatif untuk menarik ikan.
“Jadi ini tidak akan menimbulkan isu hak hasil laut dengan negara-negara lain, selagi ikan tidak ditangkap maka susah untuk kita katakan bahawa itu adalah ikan kita sebab itu penting untuk memastikan haiwan laut tersebut dekat dengan kawasan kita,” jelasnya.- UTUSAN







