KUALA LUMPUR: Guru perlu diutamakan sebagai pemegang portfolio warden asrama memandangkan jawatan tersebut secara keseluruhan menjurus ke arah pendidikan dan pembentukan sahsiah murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, warden asrama pada masa ini dilantik dalam kalangan guru berdasarkan konsep in loco parentis atau peranan ibu bapa di asrama untuk menjaga hal berkaitan kebajikan, keselamatan, pelajaran dan disiplin murid.
Menurutnya, pelantikan guru sebagai warden juga dipercayai dapat meningkatkan penerimaan, persepsi dan kepercayaan murid serta ibu bapa.
“Dalam usaha mengurangkan beban tugas guru, mulai 2019, Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas pelantikan warden asrama.
“Ini meliputi kakitangan bukan guru Gred 19 dan ke atas di sekolah-sekolah di bawah KPM melalui surat edaran dengan rujukan KPM.500-1/3/3 bertarikh 20 November 2019.
“Dengan peluasan ini, pentadbir sekolah boleh melantik warden asrama dalam kalangan bukan guru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta menyatakan sama ada KPM bercadang mewujudkan perjawatan warden asrama untuk semua sekolah berasrama bagi meringankan beban tugas guru.
Fadhlina berkata, KPM juga sudah menambah baik portfolio warden asrama di 1,847 buah sekolah berasrama sejak 2022.
“Berkuat kuasa 1 Ogos 2022, bilangan warden asrama telah ditambah seramai 3,813 orang, iaitu melibatkan peningkatan sebanyak 63 peratus daripada 6,055 kepada 9,868 orang.
“Selain itu, kadar Elaun Warden Asrama (EWA) dinaikkan sebanyak 25 peratus, iaitu RM350 sebulan bagi ketua warden asrama dan RM300 sebulan bagi warden asrama,” katanya.
Jelasnya, penambahbaikan tersebut membolehkan pengawasan dan penyeliaan asrama dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan di samping pergiliran tugas warden asrama dapat dilaksanakan.
“Usaha ini juga dapat meningkatkan pemantauan murid di asrama dan memberi keyakinan kepada ibu bapa serta masyarakat terhadap aspek keselamatan murid di asrama,” ujarnya. – UTUSAN










