Pengampunan bukan soal siapa, tetapi soal prinsip

Pengampunan bukan soal siapa, tetapi soal prinsip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia menjadi tumpuan kerana ramai yang mahu tahu ke arah mana fokus penyatuan Melayu, isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menarik perhatian.

Ia apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan keputusan mengenai permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang. Pada mesyuarat itu, 65 banduan lain turut mendapat perkenan untuk dibebaskan.

Keputusan itu sewajarnya diterima dengan penuh hormat. Bukan kerana ia menguntungkan mana-mana pihak, tetapi kerana institusi diraja dan proses pengampunan tidak seharusnya dijadikan gelanggang perebutan pengaruh politik.

Dalam isu seperti ini, kita perlu belajar membezakan antara siapa yang memohon dengan prinsip yang menentukan permohonan itu.

Najib bukan sekadar bekas Perdana Menteri. Beliau ialah tokoh politik yang masih mempunyai pengaruh, khususnya dalam UMNO. Malah majoriti penyokong UMNO mengharapkan beliau dibebaskan melalui proses pengampunan itu.

Sebab itu apa sahaja keputusan berkaitan Najib mudah ditafsir melalui lensa politik. Penyokong melihatnya sebagai soal keadilan dan ihsan, manakala pihak yang menentang melihatnya sebagai ujian terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

Namun, pengampunan bukan sepatutnya menjadi pertandingan antara kem Najib dengan kem yang menentangnya.

Perlembagaan memberikan ruang kepada Yang di-Pertuan Agong dalam soal pengampunan melalui kerangka Lembaga Pengampunan. Maka, keputusan berhubung permohonan seseorang perlu dihormati mengikut proses dan bidang kuasa yang ditetapkan. Yang penting, jangan sampai tekanan politik, sentimen penyokong atau kemarahan pihak yang menentang mempengaruhi cara rakyat melihat institusi tersebut.

UMNO sendiri menyatakan menghormati keputusan penangguhan itu dan menjunjung institusi Raja-Raja Melayu. Pada masa yang sama, pendirian kerajaan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang mesti dipelihara juga perlu dihormati.

Di sinilah kematangan politik negara sedang diuji. Jika pengampunan diberikan, jangan ada pihak menganggapnya sebagai kemenangan politik. Jika tidak diberikan, jangan pula dianggap sebagai kemenangan kepada pihak yang selama ini menentang Najib.

Lebih penting, jangan jadikan institusi diraja sebagai alat untuk mengukuhkan naratif mana-mana parti. Rakyat sebenarnya mahukan satu perkara yang mudah: keadilan yang dapat dipercayai dan institusi yang dihormati.

Kita tidak boleh mempunyai satu standard apabila seseorang itu kawan politik kita dan standard yang lain apabila dia lawan politik kita. Prinsip tidak sepatutnya berubah mengikut nama, jawatan atau parti.

Najib mungkin menjadi subjek permohonan hari ini. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah bagaimana Malaysia mahu membina sebuah negara yang menghormati undang-undang, menghargai ihsan dan pada masa sama tidak membenarkan politik mengatasi prinsip.

Akhirnya, pengampunan bukan soal siapa yang kita suka atau siapa yang kita benci.
Ia soal prinsip. Dan prinsip hanya benar-benar bermakna apabila kita sanggup mempertahankannya walaupun keputusan itu tidak memihak kepada kita.

Aznan Bakar adalah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

×