Enam ahli sindiket along simbah cat, baling molotov koktel diberkas - Utusan Malaysia

Enam ahli sindiket along simbah cat, baling molotov koktel diberkas

M. KUMAR menunjukkan modus operandi sindiket along yang melakukan jenayah simbah cat dan khianat dengan api dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Enam lelaki yang diupah oleh sindiket ceti haram atau along untuk menyimbah cat dan membaling molotov koktel ke kediaman mangsa diberkas polis dalam  serbuan di dua negeri.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua lelaki  berusia 35 hingga 51 tahun itu ditahan dalam serbuan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula 28 Jun hingga 1 Julai lalu dan mereka tertarik dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh sindiket tersebut menerusi laman media sosial Facebook.

“Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan mengiklankan kerja berkenaan dengan tawaran gaji sebanyak RM700 untuk membaling molotov koktel, manakala RM400 untuk menyimbah cat ke kediaman mangsa.

“Selepas pekerjaan itu selesai dibuat, mereka perlu merakam tindakan tersebut dan menghantarnya kepada ketua sindiket sebelum dapat menerima bayaran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak April lalu dan dengan penahanan enam lelaki itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 24 kes khianat menggunakan api dan cat di beberapa negeri, antaranya Johor, Pahang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Hasil ujian saringan yang dibuat mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman sehingga 14 Julai ini.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas tiga kenderaan, enam telefon bimbit, tiga helai kertas berisi nota ugutan, topeng muka serta pelbagai alat tulis dan pakaian,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejak Januari hingga Mei tahun ini, polis negeri ini menahan seramai 347 suspek yang terlibat dalam kes pinjaman wang tidak berlesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×