JOHOR BAHRU: Empat premis kopitiam di bandar raya ini digempur Jabatan Imigresen negeri susulan aduan menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai permit bekerja di negara ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam Op Selera yang bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari kelmarin itu, pihaknya menahan 145 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan orang awam menyatakan terdapat sejumlah warga asing tidak memiliki pasport yang sah bekerja di premis kopitiam.
“Dalam operasi di empat premis kopitiam itu, seramai 203 warga asing dan tempatan diperiksa dan daripada jumlah itu 145 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 90 lelaki dan 18 wanita Myanmar, 27 lelaki Nepal, empat lelaki dan tiga wanita Indonesia serta tiga lelaki Bangladesh, masing-masing berusia antara 18 hingga 44 tahun.
Katanya, warga asing itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit kerja yang sah dan Seksyen 15(1)(C) akta sama kerana tinggal lebih lama di negara ini.










